Friday, June 6, 2008

Message dari Mr President

Saya mewakili pelajar perubatan di Universitas Kedokteran Kristen Krida Wacana (UKRIDA) mengambil peluang ini untuk menjelaskan dakwaan-dakwaan yang tidak tepat dan tidak berasas yang dinyatakan oleh ‘wakil bakal doktor Ukrida’ dalam suratnya yang bertajuk ‘JPA elok kaji balik pengiktirafan Ukrida’. Kami, pelajar Ukrida amat tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan serta amat meragui kesahihan sumber surat dan pandangan peribadi tersebut kerana tidak disertakan nama sebagai sumber rujukan terhadap masalah yang berlaku. Malah, kenyataan yang berbaur fitnah dan emosional semata-mata ini bukan sahaja ibarat menconteng arang di muka sendiri tetapi juga merosakkan masa depan semua pelajar jika pihak JPA benar-benar menarik pengiktirafan Ukrida.

Saya sangat bersetuju dengan pendapat saudara Fikri berhubung surat beliau yang menyatakan dakwaan ‘wakil bakal doktor Ukrida’ adalah tidak berasas. Saya tidak nafikan tiada masalah yang berlaku di Ukrida, namun kenyataan tentang permasalahan Ukrida tersebut adalah amat tidak relevan. Memang ada sebahagian pelajar 2007 belajar di ruang makmal dan ruangan Ukrida agak terbatas. Akan tetapi, hal ini bukanlah sepanjang waktu perkuliahan seperti yang didakwa dan terjadi kerana proses penukaran pembelajaran antara sistem kurikulum lama dan sistem kurikulum baru berdasarkan ‘problem based learning (PBL)’ masih berjalan dan terdapat pertindihan jadual berkenaan waktu penggunaan dewan kuliah. Tambahan pula, Ukrida sedang dalam proses membangunkan hospital sendiri yang dilengkapi dengan ruangan kuliah.

Berhubung dengan sistem baru berdasarkan blok, sistem ini telah disusun dengan pembahagian blok iaitu teori perubatan selama tiga tahun setengah yang meliputi 30 blok dan klinikal selama satu tahun setengah yang meliputi 14 blok dan tidak timbul di sini isu pembahagian blok yang tidak teratur, malahan blok ini telah diluluskan oleh sistem pendidikan kedoktoran di Indonesia. Pembahagian jadual pembelajaran telah dilakukan seawal permulaan blok. Akan tetapi, di Indonesia, pensyarah yang juga merupakan seorang doktor kadangkala terpaksa menghadapi kes-kes perubatan yang tidak dapat dielakkan (emergency) sehingga terpaksa menunda kuliah. Saya tidak menyangka sama sekali timbul isu bahan kuliah yang tidak sesuai, ini kerana kejadian ini buat pertama kalinya berlaku dan pensyarah tersebut telah meminta maaf di atas kesilapannya.

Berhubung dengan dakwaan bahawa adanya konspirasi berkenaan ujian ulangan yang tidak dilakukan oleh pihak universiti, perkara ini adalah tuduhan yang tidak berasas. Saya sendiri selaku pelajar tahun 2006 yang mengikuti ujian bedah tersebut mengakui sememangnya terdapat ralat dalam pembahagian soalan, akan tetapi soal tersebut masih meliputi bahan kuliah yang diajarkan. Isu kekurangan pensyarah timbul hanya untuk sesetengah subjek yang memerlukan pakar contohnya seperti bedah, akan tetapi pihak universiti telah menampung kekurangan ini dengan menjemput tenaga pengajar dari universitas kedoktoran lain seperti Universitas Indonesia dan pelajaran bedah berjalan tanpa masalah.

Praktikal mikrobiologi awalnya dibahagikan 2 kelompok. Akan tetapi , di atas permintaan pelajar sendiri terutamanya pelajar Indonesia, praktikal tersebut digabung dan pelajar terpaksa berasak-asak. Berkenaan ujian yang dijalankan, pihak universitas sangat tegas tentang larangan meniru ketika ujian berlangsung. Ini kerana, pelajar yang meniru akan dikenakan penggantungan dan boleh dikeluarkan dari universiti. Para pelajar disini langsung tidak dikenakan sebarang larangan terhadap penggunaan bahasa Inggeris sewaktu perbincangan dan laporan tugasan. Malahan, sesetengah pensyarah ada yang mengajarkan bahan kuliah dalam bahasa Inggeris.

Secara keseluruhannya, sistem pembelajaran di Ukrida adalah bagus dan tidak mempunyai masalah. Dengan sistem ini mampu menghasilkan doktor yang berilmu dan berkualiti, dengan syarat pelajar sendiri berusaha dengan gigih. Yang pasti, artikel yang di hantar ke akhbar Berita Harian adalah berbaur emosional dan banyak kenyataan yang dikeluarkan adalah tidak berasas sama sekali.

Zulhafiz Mokhtar
Presiden

0 comments:

Post a Comment

Search