Thursday, June 5, 2008

Dari Wakil Bakal Doktor UKRIDA

Buat simpanan, ini adalah surat yang menjadi kontroversi yang telahpun dikirim oleh salah seorang daripada kita di UKRIDA kepada akhbar Berita Harian di Malaysia keluaran 2 June 2008. Niat baik, cara naive dan salah? Sila beri komen masing-masing.

Berita Harian, 2 Jun 2008.
"JPA elok kaji balik pengiktirafan Ukrida

SAYA adalah pelajar perubatan Universiti Kristen Krida Wacana (Ukrida), Jakarta, Indonesia. Universiti ini adalah sebuah universiti swasta dan mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) beberapa tahun lalu. Namun begitu, pada dasarnya universiti ini pada pandangan saya tidak layak diberi pengiktirafan dan bingung bagaimana pihak JPA dan MMC boleh menyenaraikan universiti ini sebagai satu universiti perubatan yang diiktiraf di Indonesia. Ada pelbagai masalah yang kami hadapi di sini, antaranya:

Jumlah pelajar yang ramai tetapi universiti terlalu kecil sehingga tidak mampu menampung semua pelajar. Contohnya pelajar 2007 ada sebahagian yang terpaksa belajar di makmal sepanjang masa kerana kekurangan ruang kuliah. Pelajar menggunakan cara pembelajaran sistem baru 'Problem Based Learning (PBL)' menghadapi masalah lebih besar kerana pihak universiti gagal mengeluarkan jadual pembelajaran yang teratur. Mengikut sistem baru ini, pembelajarannya adalah mengikut blok dengan setiap blok ada sistem mengikut tubuh manusia. Namun kerana sistem ini masih baru, pelajar 2006 serta 2007 dianggap sebagai bahan eksperimen, maka sering kali pelbagai masalah timbul seperti pembahagian blok tidak teratur sehingga ada bahan kuliah untuk blok sebelumnya terpaksa dimasukkan ke blok yang akan datang.

Jangka waktu untuk setiap blok adalah terlalu singkat sedangkan bahan yang harus dipelajari adalah terlalu banyak.
Pihak universiti mengambil mudah masalah ujian dan penjadualan. Pensyarah sering kali tidak menepati jadual dan datang sama ada lewat sejam atau terlalu awal. Perubahan jadual ujian atau perkuliahan tidak diberikan notis dan sering pemberitahuan hanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau dipesan kepada pelajar. Yang paling ketara apabila ada kesalahan pemberian soalan ketika ujian, membabitkan pelajar 2006 diberi soalan ujian pelajar 2004 dan kesalahan itu disedari oleh pensyarah. Mereka menjanjikan untuk mengadakan ujian semula tetapi sungguh memeranjatkan apabila markah untuk ujian itu keluar beberapa minggu selepas ujian. Apabila ditanya mengapa tidak dilakukan ujian semula, pihak pensyarah menjawab ada ramai mahasiswa yang lulus ujian itu walaupun pada hakikatnya ramai mahasiswa yang gagal. Hal ini membuatkan kami curiga adakah pihak universiti cuba untuk mengambil keuntungan kerana kami harus mengambil semester pendek kerana bayaran untuk semester pendek terlalu mahal.
Selain itu pihak pensyarah juga tidak tegas ketika ujian dilakukan dan setiap kali ujian, masalah meniru antara satu sama lain didapati berleluasa.

Universiti ini juga berkurangan tenaga pengajar. Sering kuliah pelajar 2005 terpaksa dibatalkan terutama untuk subjek Ilmu Bedah kerana pensyarah harus mengajar pelajar 2006. Disebabkan kekurangan tenaga pengajar juga, latihan praktikum mikrobiologi tidak pernah dibahagikan kepada kumpulan dan hampir 170 pelajar disumbatkan dalam ruang makmal menyebabkan suasana tidak kondusif untuk belajar. Malah sering ujian untuk Mikrobiologi juga dilakukan di dalam satu ruang kuliah kecil dengan jarak antara pelajar hanya satu kerusi.

Ada pelbagai lagi masalah yang dihadapi penuntut Malaysia di sini, selain terpaksa belajar semuanya di dalam bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris seperti diharamkan terutama ketika membuat tugasan dan perbincangan. Kami kecewa kerana pengurusan JPA dan Mara tidak menyelidiki dulu sebelum menghantar pelajar ke sini. Sungguh menyedihkan apabila melihat bakal doktor di sini seperti orang bodoh, tidak tahu apa yang dipelajarinya terutama yang menggunakan sistem PBL, pelajar bingung, pihak universiti pun bingung. Saya mengharap pihak terbabit mengkaji semula tindakan menghantar pelajar perubatan ke Indonesia terutama membabitkan universiti swasta. Jangan kerana ingin meramaikan jumlah doktor di Malaysia, kualiti doktor terabai.

WAKIL BAKAL DOKTOR UKRIDA, Jakarta, Indonesia. "

0 comments:

Post a Comment

Search